Rekod perkhidmatan Orang_Belanda_Hitam

Rekod perkhidmatan tentera Afrika yang direkrut untuk perkhidmatan di Hindia Timur Belanda bercampur-campur. Sepanjang perkhidmatan di Hindia Timur, mereka mendapat kedua-dua kepujian kerana ketaatan serta keberanian, dan juga kecaman kerana melawan perintah dan mendahagi. Malah dahagi yang dilakukan mereka membawa kepada pemikiran semula oleh para pemerintah tentera Belanda tentang kebijaksanaan perekrutan mereka dan akhirnya menjadi satu sebab utama perekrutan anggota Afrika dihentikan sementara oleh Belanda.[23]

Ketaatan dan keberanian

Belanda mencuba untuk memastikan ketaatan askar Afrika mereka dengan memberi orang Afrika layanan istimewa berbanding dengan anggota tentera KNIL peribumi. Anggota Afrika diberi status serta syarat-syarat perkhidmatan (gaji, kenaikan pangkat, makanan, pakaian, dan sebagainya) yang sama dengan anggota Eropah. Hasilnya, anggota tentera Afrika berasa bahawa kedudukan mereka terletak di atas anggota peribumi; malah mereka memandang rendah anggota peribumi. Perlu diperhatikan bahawa struktur tentera kolonial diatur mengikut strata yang berlandaskan etnik dan sosial status yang ketat. Di tingkat teratas ialah orang Eropah. Orang Ambon, yang beragama Kristian, terletak ditengah-tengah sementara anggota tentera peribumi lain, orang Jawa, Bugis dan sebagainya, yang beragama Islam, terletak di lapisan bawah. Walau apa pun, kedua-duanya akan menyanjung orang Eropah yang menjadi ketua tentera mereka. [nota 2]

Secara amnya Belanda berpuas hati dengan mutu tentera Afrika. Ineke van Kessel memetik laporan awal Belanda yang antara lain berkata, "...mereka ini orang jujur; tidak ada laporan kecurian dilaporkan. Mereka kuat, berbadan sasa, tidak mengenal penat dan telah menyesuaikan diri dengan iklim tropika. Semasa ekspedisi tentera, mereka mempamerkan keberanian, lebih daripada orang Eropah."[nota 3] Ramai anggota Afrika memenangi anugerah keberanian dan mendapat sanjungan orang Belanda terutamanya selepas ekspedisi menentang Aceh.

Dahagi

Walaupun anggota Afrika menunjukkan keberanian, mereka juga melakukan beberapa siri dahagi di pulau Jawa dan Sumatera. Sebilangan besar, jika tidak semua, anggota tentera Afrika merupakan bekas hamba. Mereka terdiri daripada tawanan perang Ashanti ataupun negara-negara ufti Ashanti, atau hamba-hamba sahaya suku-suku lain. Mereka membeli kebebasan mereka dengan wang pendahuluan yang dibayar daripada gaji mereka sebagai askar KNIL, akan tetapi mereka menyertai KNIL dengan penuh kesedaran tentang peranan yang diberikan kepada mereka.[24]

Rekrut Afrika menyertai KNIL dengan janji bahawa mereka akan diberi layanan dan status yang sama dengan tentera Eropah. Secara amnya Belanda melunaskan janji mereka kepada tentera Afrika; orang Afrika pula menuntut agar janji itu dilaksanakan sepenuhnya. Dan mahupun tentera Afrika ini sebenarnya datang daripada latar belakang (kumpulan etnik, bahasa, budaya) yang amat berbeza, mereka bersatu hati menuntut hak-hak serta kesamaan dengan tentera Eropah yang telah dijanjikan mereka.

Antara tahun 1838 hingga 1841, berlaku beberapa peristiwa dahagi: pada bulan April 1840, anggota Afrika di Purworejo memberontak kerana gaji. Pemberontakan ini didahului dengan beberapa rungutan kerana janji tentang kesamaan dari segi pakaian, tempat tidur dan beberapa perkara lagi tidak ditepati. Pada bulan Jun 1841, beberapa orang tentera Afrika di kubu Van der Capellen di Sumatera enggan mengikut perintah disebabkan mereka dibayar gaji yang rendah daripada orang Eropah. Pertempuran berlaku dengan pasukan yang mengejar mereka dan berkesudahan dengan kehilangan nyawa dua orang Afrika.[23] Kejadian di Sumatera membuat kerajaan kolonial mengkaji semula perekrutan dan penyertaan anggota Afrika dalam KNIL.

Kajian Belanda pada masa itu merungkai beberapa sebab terjadinya dahagi dalam kalangan tentera Afrika. Penyebab-penyebab ini berhubung kait dengan struktur etnik KNIL, persepsi status serta janji 'kesamaan dengan orang Eropah' yang diberikan Belanda kepada anggota Afrika. Dari sudut pandangan pegawai tentera Eropah, orang Afrika tidak beza daripada orang Ambon ataupun anggota peribumi lain. Khususnya, mereka hairan mengapa tentera Afrika diberi layanan istimewa berbanding dengan anggota Ambon yang mereka anggap lebih boleh dipercayai dan seagama dengan mereka. Dari sudut pandangan orang Afrika pula, mereka berstatus 'Eropah' dan memandang rendah anggota peribumi, termasuk orang Ambon yang juga diberi layanan istimewa sebagai orang Kristian. Tentera Afrika menuntut kesamaan hak dengan orang Eropah secara mutlak. Mereka menganggap diri mereka 'Eropah' dan tidak membezakan orang Ambon daripada anggota peribumi lain, dan berasa tersinggung apabila, misalnya, mereka diberi pelapik tidur (sama dengan tentera Ambon) dan tidak tilam seperti orang Eropah. Malah kes pelapik tidur ini menjadi isu besar buat mereka, dan bersama-sama dengan apa yang dilihat sebagai kemungkiran janji lain, membawa kepada dahagi. Bagi anggota tentera peribumi lain pula, mereka hairan mengapa bekas hamba ini diberi status yang lebih tinggi daripada orang bebas seperti mereka.[25]

Rujukan

WikiPedia: Orang_Belanda_Hitam http://epress.lib.uts.edu.au/journals/index.php/Tf... http://books.google.com/books?id=zWoMfgmS8WkC http://media.kompasiana.com/ http://media.kompasiana.com/buku/2012/01/31/sejara... http://books.google.co.id/books?ei=eoIZVObzBsTJuAT... http://books.google.co.id/books?ei=j6pHVN6aLcyxuQS... http://books.google.co.id/books?ei=uEcpVPemNoqKuAT... http://books.google.co.id/books?id=N4_on188WJwC&pg... http://books.google.co.id/books?id=b_K2AAAAIAAJ&q=... http://books.google.co.id/books?id=fr4hAQAAIAAJ&q=...